Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jumlah AUM PMB Investment kini adalah sekitar RM1.2 hingga RM1.3 bilion.
“Kami menyasarkan pe­ningkatan pelaburan sebanyak RM700 juta pada tahun ini berbanding RM400 juta yang direkodkan pada tahun 2018.
“Pertumbuhan berkenaan bakal disokong peningkatan pelaburan dalam dua segmen teras iaitu pelabur runcit dan pelabur korporat yang ma­sing-masing menyumbang secara signifikan dalam portfolio pelaburan syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Maj­lis Menandatangani Nota Kolaborasi antara PMB dengan Etiqa Family Takaful Bhd. (EFTB) bagi Program Keusahawan Kewangan Syariah di ibu pejabat Pelaburan Mara, Jalan Rakyat di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif EFTB, Zafri Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed.
Menurut Tengku Ahmad Badli, bagi menyokong pertumbuhan tersebut, kumpulan me­rancang untuk meningkatkan jumlah perunding unit amanah (perunding) kepada 1,500 orang tahun ini berbanding sebanyak 1,000 perunding setakat 28 Februari lalu.
“Kami telah membuka cawa­ngan Pusat Jualan Negeri di Alor Setar, Kedah baru-baru ini dan bakal membuka cawangan di Kota Bharu, Kelantan selain melihat potensi untuk pembukaan baharu di Melaka. Pada masa sama, ia memberi peluang kerjaya baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Najmi berkata, menerusi kolaborasi berkenaan, EFTB akan membantu PMB Investment melatih perunding dalam mencapai matlamatnya menjadi pengurus dana syariah utama di Malaysia.
“Ini memberi peluang kepada PMB Investment mendapatkan kepakaran teknikal daripada Akademi Etiqa.
“Kami telah mengenalpasti 30 orang fasilitator yang mempunyai kemahiran dalam industri untuk menyertai latihan di bawah kendalian Akademi Etiqa. Mereka yang ditauliahkan kemudiannya akan melatih perunding PMB Investment lain,” jelasnya.
Kosmo (8 Mac 2019)