WhatsApp: 6.019.234.8786 (Sanusi PMB Investment KL)

Monday, March 6, 2006

Unit amanah Islam semakin berkembang

Siri 1:
SISTEM kewangan Islam adalah luas, mencakupi pelbagai cabang. Melalui siri-siri perbankan Islam yang telah dipapar sebelum ini, kita telah mengikuti cara mendapatkan dana modal, pembiayaan, pelbagai pilihan deposit serta beberapa isu semasa berkaitan perbankan Islam.
Dalam minggu ini dan berikutnya kami mulakan pula siri khusus berkenaan pengurusan dana dan unit amanah Islam. Maklumat ini diharap dapat memberi penerangan berkesan kepada pembaca dan mendatangkan pengetahuan berguna kepada semua, berkenaan bentuk pelaburan yang kedapatan kini serta yang mematuhi syariah Islam.
Justeru pelabur dan bakal pelabur diharap dapat membuat pilihan untuk mula merapatkan diri dengan produk pelaburan Islam serta dapat mula membuat penilaian berbanding pelaburan yang berunsurkan riba dan perkara gharar seperti deposit tetap, bon dan sebilangan besar instrumen pasaran kewangan konvensional.
Maklumat pendidikan berkenaan pelaburan dan unit amanah Islam yang dimulakan ini dirasakan bertepatan dengan trend sebilangan besar pergerakan dana pelaburan serata dunia dewasa ini yang mula menunjukkan permintaan terhadap produk kewangan Islam..
Di Malaysia, jumlah unit amanah berasaskan prinsip Islam terus meningkat kepada 72 dengan nilai aset bersih (NAB) mencecah RM8 bilion. Keadaan ini mencerminkan permintaan pasaran domestik yang kukuh terhadap produk kewangan Islam. Kadar penembusan sekitar 12.9 peratus yang merujuk kepada nisbah NAB kepada nilai pasaran saham boleh dianggap bahawa industri unit amanah Islam masih sangat berpotensi untuk terus berkembang. Selari dengan permintaan pasaran, keperluan untuk menguruskan dana Islam secara lebih profesional disamping mematuhi syariah turut diberi perhatian khusus sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan Unit Amanah Islam?
Hampir semua orang, kaum bumiputera khasnya tahu apa itu skim Amanah Saham Nasional (ASN). Berkat usaha kerajaan sejak tahun 1981 melalui kewujudan Permodalan Nasional Berhad (PNB), pelaburan ASN dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) terus popular dan diyakini rakyat Malaysia.
Unit Amanah, Amanah Saham atau dalam bahasa Inggeris `Unit Trust' atau `Mutual Fund' merujuk kepada aktiviti pengumpulan sumber kewangan sebagai satu dana yang terletak hak kepada pemegang amanah korporat dan diuruskan mengikut peruntukan surat Ikatan Amanah yang berkaitan. Dana ini akan diuruskan bersama dengan satu syarikat pengurusan. Syarikat pengurusan atau lebih dikenali sebagai `pengurus dana', bertanggungjawab menguruskan pelaburan yang terdapat didalam dana selaras dengan objektif tabung amanah, dengan matlamat memberi manfaat pulangan yang berpatutan kepada setiap para pelabur yang terlibat.
Pelaburan dalam unit amanah memberi peluang kepada pelabur individu serta korporat untuk berkongsi saluran khas pengumpulan dana bagi tujuan pelaburan dalam pelbagai portfolio. Dana yang dikumpulkan atas objektif pelaburan yang sama itu akan diurus oleh pengurus dana bertauliah untuk dilaburkan dalam portfolio yang dipelbagaikan. Portfolio pelaburan tersebut kebiasaannya merangkumi satu atau lebih kelas-kelas aset pelaburan seperti pasaran kewangan & tunai, bon & sekuriti hutang, saham serta hartanah.
Selain dari PNB, kini terdapat lebih 30 pengurus dana di Malaysia seperti Muamalat Avenue Sdn. Bhd., BIMB Unit Trust Management dan Public Mutual Berhad.
Unit Amanah Islam mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 90-an melalui Dana AmIttikal pada tahun 1993, dan Amanah Saham Bank Islam Tabung Pertama (ASBI Tabung Pertama) pada tahun berikutnya. Sejak itu, unit amanah berasaskan prinsip Islam terus popular hingga kini dengan banyak dana-dana berlandaskan syariah dilancarkan oleh pengurus-pengurus dana di Malaysia. Dana-dana Islam yang diuruskan mempunyai pelbagai nama seperti Dana Al-Aiman, ASBI Dana Bon Islam, Dow Jones-RHB Islamic Malaysia Index Fund, bersesuaian dengan fokus pelaburan yang terlibat.
Operasi pengurus-pengurus dana adalah hampir sama. Pengurusan dana-dana Islam dibezakan dengan kewujudan dan kredibiliti panel syariah dalam memastikan tindakan pelaburan dan pengurusan dana selaras dengan prinsip-prinsip syariah Islam. Dalam pelaburan saham contohnya, tiada pegangan dibuat ke atas kaunter syarikat yang terbabit dengan aktiviti perniagaan judi, arak, insurans, perbankan konvensional dan makanan yang tidak halal. Pengurus dana Islam hanya akan melabur modal terkumpul dari para pelabur ke dalam portfolio pelaburan yang halal dan sebagaimana garis panduan panel syariah pengurusan dana, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan surat ikatan dana berkenaan. Dalam menjalankan tanggungjawab ini, pengurus dana mengenakan yuran pengurusan di bawah konsep Al-Ujrah.
Pemilikan pelabur individu dan korporat terhadap sesuatu dana pelaburan dibahagi dalam bentuk unit-unit. Unit-unit amanah tersebut dijual oleh pihak pengurus dana secara terus atau melalui agen kepada pelabur menerusi konsep Bai'Al-Naqdi atau jual beli secara tunai. Apabila seseorang pelabur membeli unit amanah, beliau sebenarnya berkongsi pemilikan aset dana tersebut dengan pelabur-pelabur lain yang melayakkan mereka untuk menikmati sebarang manfaat yang dijana oleh dana. Nilai unit amanah ini akan berubah-ubah, mengikut nilai aset sesuatu dana yang kadang-kala meningkat atau menguncup berikutan pergerakan pasaran. Pembahagian kepada unit-unit yang mampu beli menwujudkan peluang kepada pelabur untuk melibatkan diri secara aktif, tetapi tidak langsung dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang kadang-kala tidak ditawarkan oleh pasaran untuk pelabur individu seperti pembelian bon Islam yang berharga berjuta-juta ringgit.
Pulangan pelaburan unit amanah pula adalah dalam bentuk agihan pendapatan tahunan yang sama rata kepada setiap unit, serta pertumbuhan modal dari masa ke semasa.
Walaupun prestasi masa lalu dana-dana tidak mencerminkan prestasi akan datang, lazimnya pelaburan dalam unit amanah memberikan pulangan yang berbaloi untuk jangka masa sederhana dan panjang seperti antara 3 hingga 15 tahun. Pulangan juga bergantung kepada fokus serta corak pelaburan sesuatu dana. Umumnya, pulangan yang tinggi berkait-rapat dengan kadar risiko pelaburan yang tinggi.

(Utusan Malaysia/06/03/2006)

No comments:

Post a Comment